Sunday, August 23, 2009

RaMadHaN

Ramadhan : Kembalilah Kepada Allah...
Monday, 17 August 2009 13:53 Halu Satonaka
Sumber : Nazril Online

1. Marhaban Ya Ramadhan, Marhaban Shahru Siam, Nas alullaha Rahman, Rahmatan ‘Ala Dawam.. Saban hari penuh dengan kesibukan, diri agak alpa tentang kehadiran tetamu agung yang sentiasa dinantikan oleh umat Islam dari seluruh pelusuk negara. Tetamu yang sentiasa datang bertandang selama sebulan pada setiap tahun di setiap hati sanubari umat Islam, mudah-mudahan kita sudah bersedia menerima kehadiran tetamu agung ini. Samada kita bersedia atau tidak ianya tetap akan datang mengunjungi kita. Kehadirannya sangat bermakna kerana dijanjikan pelbagai anugerah bagi mereka yang bersedia menerima kunjungannya. Itulah bulan Ramadhan, tetamu istimewa yang dimaksudkan, sentiasa datang dengan janji-janji Allah Taala untuk ditunaikan kepada mereka yang mentaatiNya. Saya pernah menulis berkenaan persediaan untuk menyambutnya, oleh itu tidak perlulah diperjelaskan lagi, apa yang ada pada hari ini adalah kita telah menyiapkan persediaan tersebut.

2. Melihat kepada perkembangan semasa yang penuh dengan gambaran bencana, musibah, dan pelbagai kerosakan yang sebenarnya adalah dari tangan manusia itu sendiri, meruncingkan pelbagai pihak, seolah-olah tiada lagi sifat kasih sayang dan pemurah Allah Taala. Kita seolah-olah menganggap Allah Taala melupai kita, sedangkan kitalah yang melupaiNya. Sudah tibanya masanya, dengan kehadiran bulan Ramadhan ini agar sama-sama kita kembali kepada Allah Taala dan menyandarkan segala-galanya kepada Allah Taala jua. Sememangnya permulaan kepada kehadiran bulan yang agung ini, kita pasti menyedari untuk kembali kepada Allah Taala dengan mengharapkan rahmat serta limpah anugerah yang tidak terkira. Allah Taala jualah yang memakbulkan harapan dan permintaan kita dengan sebaik-baik penerimaan kerana kita adalah hambaNya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui kebaikan dan kekurangan hambaNya. Pintalah dan pohonlah kepada Allah Taala, kerana pemberian diberikan kepada mereka yang berhajat.firman Allah Taala di dalam Surah Taubah ayat 60:

{إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالمَسَاكِينِ}
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir (mereka yang berhajat), dan orang-orang miskin”.

3. Apa yang kita hajatkan tidak lain hanyalah rahmatNya, maghfirahNya serta keredhaanNya. Pemberian daripada Allah Taala hanyalah diberikan kepada hati yang sentiasa mengharapkan daripada Allah Taala di dalam keadaan merendah diri dengan keagungan dan keesaanNya, sepertimana kata Nabi Musa A.S. melalui ayat Al-Quran Surah Qasas ayat 24:

{رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ}
"Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian Yang Engkau berikan".

Firman Allah Taala lagi di dalam Surah Fatir ayat 15:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَنْتُمُ الفُقَرَاءُ إِلَى اللهِ وَاللهُ هُوَ الغَنِيُّ الحَمِيدُ‏

“Wahai umat manusia, kamulah Yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam Segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”

Oleh itu, sekiranya manusia sentiasa berhajat kepada Allah Taala, pastinya mereka tidak lagi mengharapkan makhluk selain Allah Taala jua.

4. Sesunguhnya Allah Taala memerintahkan hambaNya dengan kembali kepadaNya melalui ayat Al-Quran dengan disandarkan kepada para nabi dan hamba-hambaNya yang soleh. Allah Taala menyandarkan Rasulullah SAW untuk kembali kepada Allah Taala dalam apa jua urusan dengan firmanNya di dalam surah Syura ayat 10:

{ذَلِكُمُ اللهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ}

“Yang demikian kekuasaannya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah Aku berserah diri dan kepadaNyalah Aku rujuk kembali (dalam Segala keadaan)".

Allah Taala juga menceritakan sifat Nabi Ibrahim yang sentiasa kembali menyerahkan urusan kepadaNya melalui firman di dalam surah Hud ayat 75:

{إِنَّ إِبْرَاهِيمَ لَحَلِيمٌ أَوَّاهٌ مُنِيبٌ}

“Sesungguhnya Nabi Ibrahim, penyabar, lembut hati (bertimbang rasa) lagi suka kembali kepada Allah Dengan mengerjakan amal bakti”.

Pelbagai lagi ayat Al-Quran yang menceritakan perihal mereka yang kembali kepada Allah Taala. Sekiranya para nabi dan rasul juga menyerahkan urusan kepada Allah Taala, maka lebih-lebih lagilah umatnya yang penuh dengan kesilapan dan kelemahan. Allah Taala berfirman di dalam surah Luqman ayat 15:

{وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ}

“dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya”.

5. Kita sentiasa diperintahkan untuk sentiasa mentadabbur (menghayati) ayat Allah Taala di dalam Al-Quran satu persatu kalimah yang dipertuturkan serta menghayati dan bertafakkur dengan setiap kalimah bagi memahami kehendak perintah Allah Taala untuk dilaksanakan. Apabila kita membaca ayat Al-Quran di dalam surah Az-zumar ayat 54:

{وَأَنِيبُوا إِلَى رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ}

"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu Dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya”,

maka renungkan dan fikirkan sejenak apakah kaedah dan manhaj yang digunakan untuk kembali kepada Allah Taala? Para ulama tasawuf apabila mentadabbur ayat ini, mereka meletakkan beberapa peringkat untuk sampai kepada tahap kembali kepada Allah (inabah). Peringkat Inabah dapat dilaksanakan selepas seseorang itu mempunyai kesedaran (yaqazah), diikuti taubat dan muhasabah. Para ulama juga menggariskan ciri-ciri inabah ini kepada 4 asas iaitu, mahabbah (perasaan kasih sayang), merendah diri, berhadapan dengan Allah, dan membelakangi selain daripada Allah.

6. Kaedah yang paling tepat berdasarkan 4 asas ini untuk kita kembali kepada Allah Taala terdapat di dalam solat. Ya, solat kita menunjukkan kembalinya kita kepada Allah Taala. Syaratnya mestilah membezakan di antara adat dan ibadat. Jadikan solat kita benar-benar sebagai ibadat bukannya adat. Oleh yang demikian Rasulullah SAW menjadikan solat sebagai tiang-tiang kepada agama dan sepenting-penting perkara. Baginda bersabda:

العهد الذي بيننا وبينهم الصلاة‏,‏ فمن تركها فقد كفر

“Perbezaan di antara kita dan mereka adalah solat, sesiapa yang meninggalkannya adalah kufur”. (hadis Buraidah Radiallahu ‘anhu Riwayat Tirmizi).

Rasulullah SAW tidak menyatakan Kafir sebaliknya menggunakan lafaz Madhi sebagai menjaga hati umatnya, sekiranya Baginda SAW menyatakan kafir, ianya bermaksud terkeluar daripada agama, yang dimaksudkan oleh baginda SAW adalah menanggung dosa yang berat seumpama perbuatan orang kafir bukannya kafir aqidah. Allah Taala berfirman di dalam surah Al-Baqarah ketika menceritakan perihal keagungan solat:

{وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الخَاشِعِينَ}


“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang”.

Daripada ayat ini seorang ulama, Imam Al-Hafiz Mohammad bin Al-Maruzi (294H) menghimpunkan hadis-hadis yang menceritakan keagungan solat di dalam kitabnya القيم تعظيم قدر الصلاة.

7. Bulan Ramadhan adalah bulan Solat dan Qiamulail kerana Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk melaksanakannya. Sabda Baginda SAW:

من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه


“Sesiapa yang melaksanakan qiam pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengaharapkan rahmat Allah, diampunkan dosanya yang terdahulu” (Riwayat Imam Bukhari daripada sanad Abu Hurairah).

Saidina Umar Al-Khattab telah menunjukkan sunnah kepada umatnya pada bulan Ramadhan berkenaan solat tarawih dan kaedah perlaksanaannya. Merupakan sunnah baginda SAW pada asalnya tetapi perlaksanaannya sahaja oleh Saidina Umar Al-Khattab, merupakan dalil bahawa tidak semua perkara yang ditinggalkan Rasulullah SAW menunjukkan bid’ah. Bahkan bid’ah terbahagi kepada 2 bahagian iaitu mahmudah dan mazmumah berdasarkan hadis Jarir bin Abdullah riwayat Imam Muslim.

8. Oleh itu solat adalah menunjukkan kepada kaedah Inabah (kembali kepada Allah). Dalilnya ialah dengan solat seseorang itu menghadap qiblat menunjukkan beliau sentiasa berhadapan dengan Allah Taala, di mana Allah menjadikan arah untuk dihadapkan kepadaNya, maka tidak boleh sama sekali mengadap ke arah lain. Seseorang sememangnya boleh mengadap selain daripada arah yang ditetapkan, tetapi Allah Taala menjadikan kaabah sebagai arah solat menunjukkan segalanya adalah dihadapkan kepadaNya jua. Pada waktu yang sama ketika kita berhadapan dengan qiblat yang ditetapkan, maka kita telah membelakangi segala-galanya daripada makhlukNya. Begitu juga apabila seseorang memulakan solatnya dengan menyebut lafaz Allahu Akbar ketika takbiratul Ihram, maka diharamkan ketika itu samada bercakap, makan, minum, bermain atau melakukan perkara-perkara yang sia-sia. Firman Allah Taala:

{وَقُومُوا للهِ قَانِتِينَ}

“dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) Dengan taat dan khusyuk”.

Sepertimana sabda baginda Nabi SAW:

إن هذه الصلاة لا يصلح فيها شيء من كلام الناس‏,‏ إنما هي التسبيح والتكبير وقراءة القرآن

“sesungguhnya solat ini tidak mengubah sesautu pun dengan percakapan manusia, sebaliknya hanyalah tasbih, takbir dan bacaan Al-Quran. (Hadis Muawiyah riwayat Muslim).

9. Kesimpulannya solat menunjukkan seseorang itu kembali kepada Allah Taala. Apabila seseorang itu memberikan dirinya untuk Allah ketika solat menunjukkan mahabbah (kasihnya kepada Allah). Sekiranya ia sujud pula menunjukkan keadaannya yang merendah diri dengan keagungan Allah. Manakala apabila ia menghadap qiblat menunjukkan ia berhadapan dengan Allah Taala dan apabila ia tidak memikirkan keadaan persekitarannya ketika solat menunjukkan bahawa beliau benar-benar membelakangi selain daripada Allah Taala. Daripada 4 ciri yang terdapat pada solat ini menunjukkan hakikat kembalinya kita kepada Allah (Inabah)

Al-Fadhil Ustaz Nazril

Universiti Al-Azhar Syarif